Friday, February 03, 2006

budaya membaca atau membaca budaya

Idea saya terperangkap di antara dua isu ini. Saya sendiri juga berkecamuk memikirkan dari sudut mana seharusnya dilihat dan dikupas tajuk di atas. Secara meluasnya, saya secara peribadi merasakan yang kedua-dua perkara asas ini releven dengan masyarakat kita.

Saya ingin membawa anda menyoroti realiti aktiviti pembacaan generasi kita kini. Saya berani mengatakan yang rata-rata masyarakat Malaysia masih lagi ketandusan perkembangan pemikiran. Saya tujukan ini kepada semua golongan, baik masyarakat moden, ahli akademik, sasterawan, mahasiswa mahupun puak-puak politikus. Kebanyakannya sama saja.

Dalam diri kita secara plural, boleh dikatakan dengan peratusan hampir total tidak gemar kepada ilmu yang disampaikan melalui pembacaan. Membaca tidak dilihat sebagai satu aspek pengantara ilmu yang paling berkesan. Saya ambil contoh daripada ceramah-ceramah politik. Bila saja ada tokoh-tokoh politik yang bakal mengadakan acara ceramah atau pidato, pasti berduyun orang yang mengunjunginya. Berjam-jam lamanya mereka menadah telinga mendengar apa saja perkara yang dihujahkan oleh sang penceramah tersebut.

Saya optimis, dengan cara sebegini, pasti mudah untuk membuka fikiran orang-orang ini dengan teks-teks ucapan tersebut. Bezanya, golongan kebayakkan dalam masyarakat kita akan menelan bulat-bulat perkara-perkara yang didengar. Tidak timbul langsung persoalan untuk mencabar perkara-perkara yang didengari tadi. Jika ada yang cuba berbuat demikian, dengan pantas label-label politik kepartian dilemparkan kepada mereka.

Sama saja keadaannya dengan ceramah agama. Kecenderungan untuk terus meyakini sesuatu perkara tanpa banyak soal sangat tebal. Kita beranggapan yang ilmu agama itu khas untuk mereka-mereka yang berpendidikan agama semata. Benar, kita harus merujuk hal ehwal agama kepada mereka-mereka yang berkenaan. Tetapi, masalah masyarakat kita adalah takat mentality dihadkan pada satu takuk rendah dan lapuk sahaja. Bahayanya nanti, kita akan beramal secara membuta tuli sebelum kita sendiri benar-benar faham dengan apa yang kita lakukan. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat serba moden sekarang. Tetapi itulah hakikatnya. Perkambangan ini sudah lama wujud, dan masih menjalar dalam diri kita!

Kita hilang terus perasaan ingin mencabar balik perkara yang disampaikan. Pemikiran kita, apa yang kita dengar itulah gambaran sebenar. Tidak perlu disanggah lagi. Perkembangan ini saya sifatkan sebagai jumud. Hari ini, biar setinggi manapun pendidikan yang diterima, masih belum dapat mencerminkan keupayaan pemikiran seseorang itu!

Percambahan minda dan ilmu tidak berlaku dalam masyarakat madani kita. Proses – proses ilmiah ini hanya berjalan dikalangan golongan yang telah sedar dan mula mahu memupuk kesedaran yang sama kepada persekitaran. Namun begitu, masalahnya, tahap pemikiran kita belum terbuka dalam erti kata sebenar. Dalam konteks berfikiran terbuka ini, pencapaian paling tinggi yang diklasifikasikan sebagai ‘open minded’ ini adalah bila sesorang itu bersetuju dengan idea sekularisme kosmopolitan. Begitu juga sekiranya seseorang itu mampu berbicara tentang seks secara terbuka dan berkongsi masalah ‘dalam kain’ dengan orang lain. Ini saja definisi keterbukaan fikiran dalam masyarakat kita, bayangkan!

Budaya membaca ini ingin saya kaitkan dengan kematangan berfikir. Kita sering terlupa yang kita sebenarnya dikurniakan akal fikiran oleh Allah S.W.T. Itu adalah kurniaan yang terindah dimiliki setiap manusia. Namun, kecenderungan masyarakat kita untuk menggerakkan akal ini sungguh-sungguh mengecewakan!

Ceteknya ruang berfikir kita, pada pandangan saya, berpunca dari penafian aktiviti-aktiviti pembacaan bahan ilmiah. Ini masalah besar. Dalam indeks kajian yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 (saya lupa nama kajiannya), purata rakyat Malaysia membaca hanyalah dua buah buku setahun. Ya, hanya dua buah buku setahun! Bagaimana kita ingin melahirkan pemikir bangsa jika ini situasi hakikinya?

Benar, Malaysia ramai golongan professionalnya. Tetapi, mereka ini hanya pengguna-pengguna teknologi dan sistem sedia kala sahaja! Ini cukup untuk menjana bangsa yang tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dunia. Tetapi, ia belum cukup untuk membangunkan sekali pemikiran dan budaya masyarakat. Sebab itu, kita hanya tahu menggunakan sahaja ilmu-ilmu yang diperoleh, yang kebanyakannya dari Barat, tidak lebih dari itu. Kemudian, kita berbangga dan megah dengan pencapaian tersebut. Betapa daif sebenarnya kita ini…

Berbalik kepada indeks tadi, saya ada satu persoalan yang ingin dibangkitkan. Dalam dua buah buku yang dibaca, berapakah peratusan dari bahan bacaan tersebut yang mendorong kepada terdetiknya minda terhadap isu-isu serius? Saya mengagak, bahan yang dibaca itu hanyalah cetakkan picisan yang kandungannya remeh-temeh dan mengkhayalkan! Golongan menengah Malaysia memang menggilai bahan-bahan ringan sebegini.

Saya khuatir… saya resah. Jika ini yang kita sandarkan untuk mencapai segala pencapaian dan agenda masa depan, kita akan terus mendabik dada. Kita akan terus megah, berbangga diri walhal kitalah masyarakat yang paling kolot rangka fikirannya. Jangan kita wariskan generasi mendatang dengan kedegilan kita hari ini. Bangsa yang dihormati adalah bangsa yang kukuh daulat dan maruah diri, bukan diukur dengan materialistik lagi seperti Barat.

Bacalah… ayat pertama yang diturunkan kepada rasul Allah Muhammad s.a.w itupun bunyinya “Bacalah…”. Jadi siapa kita untuk terus memejamkan mata dan memekakkan telinga? Inilah yang saya rangka, cubaan untuk memperkatakan tentang budaya membaca masyarakat kita. Secara kebetulan, saya juga tanpa sedar telah cuba membaca budaya masyarakat kita sekali gus… syukur, dua dalam satu rupanya! - 1 Muharam 1427 Hijrah / 31 Januari 2006

No comments: