Monday, March 03, 2008

intelektual masyarakat membangun (III)

Bebal dalam maksud asalnya bermaksud bodoh, malas dan keras kepala. Bebalisme pula walaupun masih membawa semangat yang sama, lebih cenderung kepada sikap kolektif seperti ketidaktahuan, bersenang-senang, lemah akal dan sebagainya. Ia pula bukanlah berdiri sebagai ‘takdir’, tetapi sebenarnya dirancakkan oleh sikap masyarakat itu sendiri. Ia juga tidak hadir sebagai satu ideologi.

Beliau menjelaskan secara terperinci tentang golongan ini, yang katanya lebih mudah untuk menular di dalam masyarakat membangun. Tiga ekstrak pengamatan utama beliau ke atas golongan ini; pertama – ‘bebalisme mempunyai ciri atau sifat mengharapkan orang lain percaya kepada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan apabila merujuk kepada pokok permasalahan yang berada di luar jangkauan penerimaan biasa’. Kedua, bebalisme ‘tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional serta tidak menaruh penghargaan kepadanya’. Terakhir ialah ‘bebalisme tidak mempunyai kemampuan untuk menilai masalah secara kontekstual, mendalam dan sinambung – tidak dapat melihat hutan kerana pohon-pohonnya.’

Meneliti pemerhatian dan penghujahan beliau di dalam bab-bab awal ini sudah cukup terang hamparan masalah yang mahu diketengahkan dan sekaligus terkandung kekecewaan yang dalam penulisnya. Di dalam bab lain, beliau banyak menghuraikan lagi peranan-peranan, ciri serta fungsi intelektual ini. Ia berkisar kepada permasalahan yang sama tetapi yang paling utama adalah bagaimana untuk berdepan dan menawarkan penyelesaian kepada persoalan yang dilontarkan.

Selepas 31 tahun ia ditulis, kelibat individu yang seperti digambarkan masih lagi kelihatan. Golongan professional yang tumpul pemikiran, suasana debat parlimen yang mengarut dan tidak teratur langsung, mahasiswa yang lemah intelek, pegawai kerajaan yang tiada fungsi di dalam masyarakat melainkan hanya sebagai pekerja kerajaan yang tiada daya saing dan sebagainya. Kini, cabaran dan permasalahan yang dibangkitkan dalam buku ini semakin getir kerana masyarakat yang ada hari ini masih lagi mahu berada ditakuk lama dan terus mendabik dada dan berbangga dengan keadaan ini – selepas 31 tahun!

Saya sendiri, sebagai seorang individu dari corong waktu yang berbeza dari beliau berasa sungguh kerugian kerana tidak berkesempatan menghayati dan bergelumang dengan kerja-kerja ilmiah seperti ini lebih awal. Seharusnya juga ko-kurikulum di universiti dulu turut menyelitkan teks ini untuk dikaji dan dibahaskan oleh pelajar. Saya akan lebih menghargai ijazah yang diraih jika saya mampu untuk melihat perkara ini dalam silibus rasmi pengajian.

Beberapa teman yang lain – juga produk universiti pasca-milenium – turut sama terkapai-kapai mahu memahami konteks yang dibicarakan oleh Syed Hussein Alatas ini. Antara mereka yang saya agihkan salinan buku ini merasakan ia sesuatu yang berat untuk dihadam dan ditekuni. Ada juga yang mampu melihat permasalahannya, tetapi tidak mampu untuk merefleksi diri sendiri dan terus mencari salah orang lain. Saya kira, golongan muda hari ini tidak boleh lagi berpeluk tubuh berulit dengan ketololan yang diprogramkan. Teks ini tidak boleh lagi dipandang sepi dan momentum idea yang terkandung seharusnya dipanjangkan lagi. Paling penting, teks ini tidak patut dilupa, dilenyapkan atau dipandang enteng.

Dari satu sisi, jika teks seperti ini mampu dibahaskan oleh lepasan universiti – walaupun tahap teks ini tidak segah mana - dan dibaca, difikirkan serta diperhalusi oleh banyak lagi golongan, mungkin tidak ada lagi individu yang akan mengeluarkan komentar seperti yang pernah kita dengari daripada Zainuddin Maidin ketika ditemubual oleh stesen Al-Jazeera ketika kemuncak ‘Gelombang Kuning’ November tahun lalu.

Juga moga tiada lagi cadangan-cadangan mundur seperti yang terbaru diajukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pelajaran Malaysia yang mahu menggantikan kerja-kerja Sasterawan Negara (SN) dengan karangan cinta picisan oleh Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid untuk silibus komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) sekolah menengah.

Saya mencoretkan cebisan ini dipetang 23 Januari 2008 sebagai tanda ingatan sempena ulang tahun pertama kembalinya almarhum Syed Hussein Alatas menemui Penciptanya. Semoga akan lebih ramai yang ‘mahu’ berperanan sebagai intelektual masyarakat membangun di Malaysia.
- END-

Wednesday, February 27, 2008

intelektual masyarakat membangun (II)

(II)
...
Beliau mempersoal kewujudan golongan ini di dalam kelompok masyarakat, memberi definisi jelas apa yang ditanggapi sebagai intelektual dan dibezakan daripada golongan yang dibilang intelegensia serta paling penting ialah fungsi – atau bagaimana untuk berfungsi – golongan intelektual ini di dalam persekitaran mereka.

Secara peribadi, tiga bab pertama dirasakan paling memberangsangkan untuk diteliti. Di dalam bab dua – Kaum Intelektual dan Fungsinya – beliau mendiskripsi dengan akrab segala terma yang menunjangi buku ini. Segala yang disebutkan diletakkan di dalam keadaan paling nyata untuk difahami dengan gambaran, latar sejarah dari pelbagai ketamadunan serta contoh lalu yang apa yang mahu dikaitkan melalui pemerhatian beliau.

Ada dua perkara di sini yang menarik perhatian. Pertama, soalan yang dilontarkan beliau iaitu sebab-sebab mengapa kelompok intelegentsia gagal untuk menjadi kelompok intelektual sejati yang mampu untuk berdepan dengan menangani serta membincangkan apa juga tema atau permasalahan yang timbul dalam masyarakat. (Dalam maksud ini, ia merujuk kepada masalah yang timbul dalam era yang berbeza-beza setiap zaman.)

Perkembangan ini dilihat tercetus disebabkan ketiadaan semangat intelektual oleh ahli masyarakat. Jika ditafsirkan semangat ini, ia adalah mirip kepada perlakuan mengkaji, merasa nikmat di dalam perjalanan atau pencarian intelektual dan juga kurang rasa hormat yang mendalam terhadap tradisi kelimuan dan rasional yang tidak tersebar luas.

Kedua, beliau juga menyentuh dan mengkritik sebuah buku, Revolusi Mental (Penerbitan Utusan Melayu 1973), yang menurutnya adalah ‘pernyataan bukan intelektual yang mengaku sebagai sesuatu yang intelektual’. Ini disebabkan mereka yang terlibat dengan projek buku ini - termasuk ketua penyusunnya yang juga bekas duta ke Indonesia dan Menteri Penerangan, Senu Abdul Rahman – menghimpunkan beberapa lagi individu yang pemengan BA dan PhD serta mendapatkan kata pengantar daripada Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak yang dianggap ‘seseorang’ dalam masyarakat.

Syed Hussein membidas kenyataan yang bersifat generalisasi dan sempit golongan elit ini. Sajian penaakulan yang terdapat di dalam buku tersebut dilihat sebagai satu contoh yang jelas oleh beliau untuk mengukuh dan memudahkan lagi proses penghujahannya untuk berdepan dengan perkembangan tersebut. Kini, saya sendiri mula mendapat jawapan kepada keengganan saya untuk membaca Revolusi Mental ketika disarankan oleh rakan ketika di universiti dulu. Dan saya tidak menyesal kerana masih belum membaca buku tersebut. Buku berkenaan adalah contoh kepada pemerhatian yang cetek, tidak difikirkan secara mendalam dan hasilnya diajukan secara tidak teratur kepada khalayak.

Seterusnya, bab tiga – Bebalisme – juga tidak salah jika mahu dilihat sebagai tulang belakang yang menegakkan hujah idea asas di dalam buku nipis ini. Bebalisme ditafsirkan sebagai satu konsep untuk menyatakan maksud dalam pengertian ilmiah dan deskriptif dan bukan untuk tujuan merendahkan seperti maksud kata akarnya.
.
.
***
bersambung...

Tuesday, February 26, 2008

intelektual masyarakat membangun

- Teks besar yang dilupakan

(I)

Untuk beberapa ketika tahun lalu (2007), sesudah berita pulangnya pemikir besar rantau ini ke rahmatullah, almarhum Syed Hussein Alatas (17 September 1928 – 23 Januari 2007), saya berbalas emel dengan pihak Dawama yang bertindak selaku penerbit dan pencetak produk-produk buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Keinginan saya hanya satu; mendapatkan semula buku terjemahan dengan judul Intelektual Masyarakat Membangun yang pernah diterbitkan dulu sekitar awal tahun 1990 yang diambil daripada versi terjemahan bahasa Indonesia tiga tahun sebelumnya. Syed Hussein Alatas menulis versi asal buku ini di dalam bahasa Inggeris ketika bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura dan diterbitkan pada tahun 1977 oleh penerbit Frank Cass, London.

Dalam emel tersebut, saya bertanyakan kalau-kalau mereka masih mempunyai saki-baki salinan buku yang dimaksudkan. Malangnya, buku itu kehabisan stok. Saya usulkan pula pertanyaan sama ada mereka ada perancangan untuk mengulang cetak semula buku itu. Kali ini, jawapan yang diberikan menusuk naluri dan membuatkan ia terus bersarang di dalam kepala hingga kini – ‘tidak ada permintaan terhadap buku tersebut’ – sekurang-kurangnya itulah jawapan balas mereka.

Jawapan seumpama itu meninggalkan tanda soal besar untuk diperhalusi. Saya mahu mempersoalkan kredibiliti dan kepekaan Dawama serta DBP khususnya dalam hal ini. Seorang tokoh besar yang karyanya terus-menerus digali oleh dunia luar seperti mahu dilupakan saja di tempat sendiri oleh mereka yang sepatutnya memelihara dan menyanjung hasil kerja berkenaan – terutamanya selepas cendekia itu meninggal dunia.

Ketika salinan buku ini ditangan, saya gagal untuk melepaskannya daripada terus diamati. Tiga bab awal yang dipaparkan benar-benar membuatkan sesiapa juga yang mahu menyelami permasalahan yang diajukan beliau untuk tidak lekang dari buku ini. Dalam bab-bab awal buku ini, beliau banyak merefleksi dan mencermin kepada pergolakan intelektualisme masyarakat di Malaysia bermula pada tahun-tahun selepas merdeka – selepas terlepas daripada cengkaman zahir kolonial. Ini adalah tunjang dan latar kukuh yang diperbahaskan di dalamnya secara ringkas dan padat.

Buku ini juga tidak bermaksud untuk menawarkan apa-apa peneyelesaian. Ia lebih kepada memaparkan pemerhatian beliau tentang masyarakat kepada masyarakat. Seharusnya juga, tanggungjawab selepas itu tergalas dibahu masyarakat untuk memikirnya dan mencari jalan keluar dan berubah.

Satu kekuatan buku ini – walaupun ia mungkin bukan karya paling besar pernah dihasilkan Syed Hussein Alatas bagi kebanyakan orang – ialah selepas lebih 30 tahun buku ini diterbitkan, kejengkelan yang dipaparkan masih terlalu nyata dan tetap dengan angkuh masih juga dibiarkan berlaku di dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Beliau resah dengan golongan intelektual yang pada maksud tertentu seperti terperangkap di dalam suasana kawalan dan keadaan masyarakat yang menurut pemahaman saya sudah tepu dengan segala kondisi terdahulu.
***
bersambung...