Friday, May 11, 2007

demos kratos

Tajuk di atas adalah dalam kata lain yang sering difahami sebagai demokrasi. Asal kata ini ialah dari perkataan Greek.‘Demos’ membawa maksud people atau rakyat. 'Kratos' pula bermaksud rule atau memerintah.

Ia secara lahirnya difahami sebagai satu modul pemerintahan bagi sesebuah kerajaan. Sayangnya, bunyi perkataan ini memang indah dan membawa maksud yang baik juga. Dalam bahasa mudah, ia membawa makna kata rakyat yang memerintah – ‘rule by the people’.

Maksud di sini, sesebuah pemerintahan adalah dibawah kuasa rakyat – pada dasarnya, inilah yang cuba disampaikan. Kuasa sebenarnya di bawah pengaruh rakyat. Sekurang-kurangnya ini adalah idea awalnya.

Namun, momok demokrasi ini sudah ditafsir secara yang berlainan maksud dan konteks di negara ini. Kita percaya demokrasi adalah perlakuan di mana rakyat secara berbondong-bondong akan turun untuk mengundi. Demokrasi juga adalah kuasa – hanya untuk memilih. Mati di situ.

Dalam konteks Malaysia, lima tahun tempoh pemilihan pemerintah, rakyat langsung tidak boleh berbuat apa-apa. Ini hakikat. Maka, ‘kuasa’ rakyat yang dilaungkan itu hanyalah ketika musim pimilihan. Selain dari waktu itu, rakyat hanyalah keldai yang perlu menerima saja apa yang diputuskan oleh pemerintah.

Maka, tercetuslah keadaan di mana pemerintah berbuat sesuka hati – walaupun menurut mereka keputusan seumpama itu masih menyebelahi rakyat. Hakikat yang satu lagi, rakyat terus tersepit.

Pemerintah memomokkan demokrasi versi mereka dan mahu semua rakyat percaya akannya. Di dalam bangsa yang malas untuk membuka minda pula, mereka yakin bahawa demokrasi yang satu ini sajalah yang benar. Mereka tidak memahami apa sebenarnya yang berlingkar di dalam lingkurangan demokrasi. Mereka malas membaca, malas mencari dan hanya mahu bersenang-lenang. Inilah keresahan yang sebetulnya untuk dipeningkan, bukan memikirkan tentang ‘perlukah saya turun mengundi nanti?’.

Sebagai contoh terdekat, siapakah yang memilih Abdullah Badawi untuk menggantikan Mahathir Mohammad? Adakah rakyat atau pemerintah? Bukan ramai yang mahu mewakilkan pemerintah untuk membuat semua tindak-tanduk.

Demokrasi bukan alat. Tetapi itulah yang terjadi – diperalatkan. Terlalu kompleks untuk difahami. Jika benar-benar mahu diselidiki dan di kaji, mungkin ada titik pertemuan antara demokrasi dan anarkis atau sosialis? – Barangkali!

Tidak perlulah bercakap tentang demokrasi. Semua sudah bercampur-baur dan banyak hantu dan mitosnya…

-11 mei 2007

geram amarah

Coretan ini terinspirasi daripada satu insiden yang berlaku tiga-empat hari yang lalu. Lebuhraya Persekutuan sesak. Entah bagaimana, didepan ada sebuah kereta Wira-Lancer. Ada dua orang – lelaki dan perempuan Melayu – dan nampak meyakinkan sebagai sepasang suami isteri.

Mereka bertekak. Kelihatan bahasa badan seperti orang bergaduh. Tangan turut mengekspresi berontak jiwa mereka. Mula-mula sekadar menampakkan sikap egois kedua-dua pihak. Tuding sana-sini. Memang tegang keadaan itu, aku dapat rasa.

Tak lama lepas itu, keadaan semakin tak terkawal. Tangan tadi yang hanya muncul sebagai isyarat kini mula hinggap secara fizikal. Yang lelaki menumbuk yang perempuan – dalam keadaan memandu. Yang perempuan membalas dengan menumbuk juga, tapi kebanyakannya menampar sebenarnya. Aku ekori saja kereta berkenaan.

Tak sedar, tiba-tiba aku yang jadi marah. Aku tak tahu apa cerita belakang kain mereka, mungkin perempuan itu jahat, mungkin lelaki itu semalam projek dengan perempuan lain, itu aku tak tahu. Tapi yang aku tak boleh tengok dua-dua makhluk bercakaran. Semestinya aku bersimpati pada si perempuan. Dan aku rasa tindakan si lelaki pun melebih-lebih.

Kalau teruk sangat perempuan itu kena penangan, silap-silap aku nak jadi hero!

Kesian tengok si perempuan – aku nampak menangis – mengalihkan penghadang matahari yang ada cermin dibelakangnya. Meninjau rupa dan membetulkan tudungnya. Itu pagi, dalam perjalanan ke tempat kerja. Pasti permulaan hari yang penuh kesakitan – zahir dan batin.

Aku anggap mereka pasangan suami isteri. Aku belum berkahwin, tapi aku rasa ada elok juga mengelamun pasal perkara ini.

Dalam situasi tegang yang terjadi, tidak sepatutnya kedua-dua pihak naik angin. Aku rasa adengan tumbuk-menumbuk itu terjadi sebab dua-dua dah nak minyak – mungkin juga dah lama pendam, itu tidak diketahui.

Biarlah satu pihak dulu yang menghambur kata-kata hati dia. Yang lagi satu buat dungu cukuplah. Itu pun kalau ada hati masih nak berumahtangga. Buat pekak sudahlah, selagi tak naik tangan dan kaki. Dah jadi macam ini, bergaduh tak ingat tempat, sudahnya buat malu diri sendiri!

Kes cerai pasangan Melayu- Islam tinggi buat masa ini. Hidup zaman pasca-moden ini terlalu banyak tamparan. Dan banyak juga yang terlepas dari pegangan hidup yang sepatutnya. Semua mahu jadi pandai dan ikut cara sendiri – secara babi buta. Inilah ubatnya…

Kepada mereka berdua ini, aku harap keadaan reda. Pagi itu, tidak ada kejadian yang lebih buruk dari tumbuk-tampar mereka – itu pun setakat yang aku dapat perhatikan kereta mereka sebalum ia hilang dari pandangan.

Pagi yang sarat rasa geram. Aku yang tak pasal-pasal penat fikir pasal mereka.
- 11 mei 2007

Monday, May 07, 2007

pangkor dalam hangus – sehari selepas

Aku sampai ke pulau Pangkor pada Sabtu (5 Mei 2007) itu dalam pukul empat petang. Paginya aku hampir sakit otak, terperap dalam bilik di Blue Bay Resort dengan seorang teman – Chot. Kami menumpang di bilik Madey (302) yang ada kursus - katanya. Terima kaseh kepada Kementerian Sumber Asli kerana ‘menaja’ penginapan kami – siap dengan makan malam. Boleh kami duduk percuma lagi nanti?

Malam sebelumnya pula, ketika menanti teman-teman datang menjemput untuk perjalanan ke Lumut, berita di tv ada memaparkan kejadian kebakaran di Pangkor. Nampak gaya macam teruk kena jilat – kedai dinding papan di sanalah, kena jilat dengan api.

Mujur jeti tak ditutup. Turun dari feri petang itu, asap dan bau hangit masih kuat berselubung. Tempat kejadian yang hanya beberapa kaki dari jeti itu pun masih dikerumuni ramai orang.

Memang teruk. Satu berek hangus – rentung. Orang pula jadi kelabu asap. Aku sempat ‘menembak’ gambar-gambar hangus itu. Kalau nak tengok, sila ke sini.

Raut wajah orang-orang pulau ini bermacam-macam. Ada yang masam mencuka, bingung, riang-ria dan macam-macam lagilah. Paling menarik ada sekumpulan orang-orang berusia (satu keluarga barangkali) yang duduk lepak-lepak atas buaian jaring bawah pangkin rumah. Sempoi!

Ada juga yang sebok curi besi! Masa kami sampai, dia terkantoi. Tapi masa kami balik, mamat yang sama macam dah dapat ‘approval’, siap datang dengan lori! Haha... macam-macam.

Hangit sungguh udara sekitar. Kepol-kepol asap pun masih kelihatan terlepas ke udara – walaupun tidak setebal macam yang aku tengok di tv malam sebelumnya. Kesian orang pulau, dengar cerita agak lumpuh ekonomi.

Apa pun, bagi aku, kami tetap ‘bercuti’ dengan pengalaman yang berwarna-warni. Sepanjang berada di sana, kami – aku dengan dua lagi teman, Hafis dan Chot – hanya berjalan kaki. Niat asal nak bercanda tepi pantai. Tapi apa yang berlaku, kami meredah hutan belukar, cerun-curam untuk sampai ke Teluk Segadas. Ini tempat yang tak ramai orang tahu, itu yang seronok. Ada lah dua tiga kelompok kecil saja masa kami sampai. Ombak kuat sangat, malas nak terjun. Terkenang pula obor-obor, langsung terpadam niat aku. Langsung kami mendaki bukit dan batu-batu besar lepas itu. Dengan seliparnya, dengan dua beg selimpangnya (satu ada kemera besar!), aku bersungguh juga mendaki. Puncak yang tak berapa tinggi, tapi amat menenangkan dan curam! Syok, lama tak memanjat.

Aku sempat tulis ‘sajak tak tahu malu’ di Teluk Segadas. Dalam perjalanan pulang, sekali lagi aku duduk di depan tapak hangus dan coretkan satu lagi sajak – kali ini aku panggil sajak ‘hiba duka’. Dalam mengesot kaki nak ke jeti balik, aku terperasan ada tulisan di atas bukit berhadapan dengan jeti dan tak jauh mana pun dari tapak hangus. Tulisannya – Balai Bomba Pangkor. Aku tanya Chot, mana balai bombanya? Pada fikir aku, ingatkan betul-betul balai bomba itu di atas bukit atau di balik bukit sana.

Dengan selamba Chot tunjuk; “Tu..” Bersahaja dia tuding. Laaa… masalah betul! Balai bomba betul-betul depan jeti. Dekat sungguh dengan tapak hangus. Depan mata! Kalau jalan pun tutup mata boleh sampai, tak akan tersadung apa-apa. Aku tak perasan langsung dari awal. Tak ada bukit atau apa-apa halangan. Terus bersambung dengan jalan raya sempit. Kami semua gelak sakan! – Pelik sungguh…

Bomba depan mata, rumah kedai hangus banyak tak ingat. “Terbakar pukul tiga pagi kot, itu yang susah…” aku menyedapkan hati. “Ke ada yang saja-saja bakar ni, nak kedai baru dari kerajaan,” getus hati kecil aku lagi – hati aku tersenyum sinis. Untuk rekod, kejadian tiga pagi sebelumnya itu tidak meragut korban jiwa langsung.

Selamat tinggal Pangkor, aku rasa nak datang lagi, sementara ada penginapan percuma di Orient Star – Lumut! Yang ini, terima kaseh kepada Petronas pula. Haha.

- 7 Mei 2007