Tuesday, July 05, 2011

Oe, nuklear

Pagi. Terjaga dari tidur. Saya membaca sebuah catatan ringkas Kenzaburo Oe, tentang ingatannya terhadap Hiroshima – Hiroshima Memories: On The Lessons of Tragedy. Kota itu adalah sebuah tembok yang dipermukaannya penuh diconteng dengan setiap kecelakaan dari apa yang disebut nuklear. Agaknya, peperangan, atau segala perih-jerih lain perjalanan bangsa Jepun di kota itu tak ada yang lebih diingati berbanding kata ‘nuklear’ itu. Dan Oe, ketika bom itu meledak di dua buah kota di negaranya, merakam setiap kesengsaraan yang mungkin dilihat matanya sendiri, atau didengarinya secara lisan atau mungkin saja di bacanya di merata-rata medium. Sehingga hari ini, dia mencemuh negaranya sendiri, tentu saja kepada pembuat-pembuat dasar, yang membenarkan agen-agen nuklear ini, yang dulu pernah meranapkan kota Hiroshima dan Nagasaki sehingga menjadi kota-kota hantu, untuk kekal di bumi mereka. Dua kata kunci; nuklear dan memori. Yang menurut Oe sepatutnya sudah menghajar bangsa Jepun untuk tidak lagi membuat kesilapan, untuk mempertaruhkan walau hanya satu nyawa penduduknya di hadapan kuasa nuklear. Membaca tulisan pendek itu, membuatkan saya termenung. Kerana, pada kebanyakan masa, menurut saya, bangsa Jepun sudah terlalu banyak belajar dari sejarah mereka. Jatuh untuk kemudiannya bangkit dengan garang. Tetapi, di mata Oe, hal yang satu ini adalah kebodohan yang sengaja diulang. Dan, Mac lalu, telahan Oe, terpaksa saya akui, menjadi igauan yang nyata. Katanya, Jepun tak akan dapat menangkis amarah alam. Dan, kerisauannya itu cukup berasas; kebenciannya kepada nuklear, yang ketika hukum alam mula lari daripada apa yang selalu dijangkakan, membuatkan kemudahan nuklear jadi tak terbendung. Nuklear, menurutnya, melimpah lagi untuk menghancurkan Jepun. Saya terbawa untuk mengenang Malaysia, yang juga dalam hal ini, punya kesamaan dengan Jepun. Negara ini sekarang berghairah menjual diri untuk secebis kuasa nuklear, dengan sebuah nama yang selepas ini wajib diingat semua warga; Lynas. Katanya untuk kemajuan (atau banjiran duit yang tak pernah cukup digilakan). Dan, jangan dilupa. Malaysia juga punya sebuah ingatan terhadap nuklear ini; Bukit Merah, 1980an. Luka ini masih saja berbekas. Kes-kes leukimia misalnya. Saya mendengar Dr. Mahathir, di dalam satu sidang media untuk KLIMS 2010 penghujung tahun lalu, turut menyebut-nyebut tentang insiden ini. Mungkin tak terlalu dijelaskan, kerana, saya fikir ini berlaku ketika dia sendiri menjawat pejabat PM ketika itu. Malaysia waktu ini wajib merasakan kegusaran yang sama seperti Oe. Cuma bezanya, Oe sudah melihat kecelakaan yang selalu dibayangkannya. Malaysia belum lagi.

No comments: