Thursday, June 23, 2011

republik kutu



Tahun lalu saya sempat menyumbangkan beberapa tulisan untuk projek buku Republik Kutu; sebuah sajak prosa (Aku Memang Bertanyakan Nama-mu), dua buah sajak (Genggam Dosa, Menulislah), sebuah cerita (Neon) dan sebuah esei ringkas (Pasar dan Estetika).

Kini, buku berkenaan sudah terbit.

Seminggu lalu saya peroleh satu salinan, dan membaca bertebuk-tebuk di Kuala Lumpur, membawa naskah ini ke Korea Selatan dan merobek-robek sedikit lembar kertasnya di bilik hotel di pinggir Seoul. Saya menikmatinya. Mungkin tidak sempurna, tetapi sebagai cuba-cubaan untuk memungkiri janji terhadap ketetapan-ketetapan klise yang tidak tertulis, ada kandungan yang melapangkan dada.

Apa pun, tak ada apa yang penting dengan kata-kata saya. Kalau berkesempatan, cari judul ini dan baca (dan beri komen kalau mahu). Kalau susah nak berjumpa buku ini, emel ke jelirda@gmail.com, pesan terus dari saya.

Di sini saya sertakan beberapa rangkap petikan dari Neon:

Petang itu, di dalam kamar yang sama, Lisa berkeras mahu melihat foto-foto yang diyakini ada dalam kamera yang aku jinjit. ‘Tak ada, Lisa.’ Tentunya, penolakan seperti itu tidak melahirkan rasa apa pun pada dia. ‘Dengar sini Lisa. Yang terkandung dalam kamera ini adalah keindahan-keindahan yang rahasia, yang terlarang. Kalau pun kamu melihat, belum tentu kamu akan faham.’ Seperti anak kecil yang nakal dan tegar, Lisa memang tak pernah menghiraukan kata-kata aku.

Lisa memulangkan semula kamera ke tangan aku. ‘Kalau betul di dalam ini adalah keindahan, rahasia dan larangan-larangan, maka aku juga mahu berada di lingkungan itu.’ Aku tak perlu memahami atau mencari-cari maksud kata-kata Lisa. ‘Potretkan aku.’ Sedetik itu aku memang rasakan seperti semuanya kaku. Sama seperti sebuah foto, subjek-subjeknya diperangkap oleh masa, cahaya dan tempat, tetapi masih lagi bernyawa untuk mempesona mata-mata yang memandang. Tidak terlalu perlu kepada pengertian.

Lisa tenang memandang. Dia sekejap itu juga mengangkat t-shirt yang terpampang wajah John Lennon yang dipakai, dari paras pinggang ke atas melepasi kepala dan melastik ke lantai. Dua tangannya kemudian kebelakang. Dalam debar yang seketika, Lisa melucutkan semua yang ada pada tubuh. ‘Sekarang,’ katanya. Yang tersedia ketika itu adalah momen paling intens. Ketenangan Lisa tak dapat menenteramkan. Buat seketika aku hanya terpana memandang kesempurnaan. Kesempurnaan yang sebelum itu tidak pernah aku impikan untuk ditelanjangi.

Dia seperti sangat arif tentang elektrik antara subjek dan lensa. Begitu juga perhubungan celaru antara subjek dan tukang potret. Dia hanya melepaskan badan dihujung katil dan tidak berpura-pura. Aku masih ingat, hanya tiga petikan yang menjatuhkan kelopak shutter sahaja yang sempat diperlakukan sebelum Lisa bingkas bangun dan menjerit histerik; ‘masa tamat!’ Ketukan dimuka pintu kemudiannya menamatkan imajinasi keindahan terlarang yang sedang aku nikmati waktu itu. Rina membawa pesan yang tak mahu aku dengari kepada Lisa.

Tak engkau ketahui Lisa, betapa getar dari penantian aku memproses foto itu hampir membunuh. Kamar di mana foto ini lahir lebih gelap daripada kamar di mana kita berinteraksi dan bertransaksi secara emosi, tetapi disirami cahaya yang bangkit dari wajahmu. Beberapa lama yang diperlukan untuk melihat engkau di atas cetak kertas itu membuatkan aku bergelinjang dan terasa nakal. Cecair kimia seperti tak mencukupi, kegelapan seperti masih bercahaya. Waktu itu aku hanya mahu hilang sebentar dan kembali untuk melihat matamu siap merenung mataku – walaupun hanya dari dalam gambar.




1 comment:

triskaidekaphobia said...

bisa kongsi pengalamannya di Korea? kita bakal ke sana juga hujung bulan Juli ini