Dua tiga minggu ini saya sering bergelut dan bergelumang. Bukan dengan siapa-siapa, tetapi dengan diri sendiri. Saya cuba mencari jawapan kepada segala macam persolan yang timbul dalam diri. Idea yang membuatkan saya kalut itu adalah ‘pencerahan’.
Sedikit latar berdasarkan pengalaman sendiri mengenai topik ini. Saya pernah dengar slogan pencerahan ini. Dan saya rasa, yang melalui acuan pendidikan di negara ini juga begitu. Di sekolah dulu – dalam subjek Sejarah yang kerap menjadi bosan. Namun, pengamatan saya tidak lahir waktu itu. Tidak ada persoalan yang bangkit untuk saya jawab – atau mencari jawapannya. Ketika itu, sama sajalah saya dengan kebanyakkan orang-orang lain, bebal dan sengal. (Walaupun ada yang cemerlang menghafal untuk subjek itu!)
Tapi, kebelakangan ini ‘hantu’ pencerahan ini datang lagi. Kali ini dia betul-betul menggoncang naluri. Seribu satu persoalan timbul entah dari mana. Semuanya setelah saya mula mengambil berat isi-isi yang terkandung dalam buku The Enlightenment hasil nukilan Dorinda Outram.
Ia tidaklah mencakupi semua aspek pencerahan secara detail, tetapi cukup untuk seseorang yang berusia pertengahan 20an untuk menjadikannya satu teks yang baik sebagai permulaan – kerana kegagalan sistem dan diri sendiri untuk sedar peri pentingnya perkembangan ini ketika di sekolah. Teks ini juga tidak akan diajar atau diberi penekanan di mana-mana institut pengajian tinggi dalam negara barangkali.
Kini, saya tidak lagi melihat bahan sejarah yang ada dalam buku The Enlightenment itu dari perspektif sejarah seperti mana yang pernah disogokkan dulu. Sejarah ini sejarah perubahan bangsa – dalam konteks ini bangsa Eropah – dan bukan lagi sejarah hafalan yang akan serta merta lenyap tanpa kesedaran daripadanya.
Kini saya menggeluti persoalan dalam diri yang memerlukan jawapan segera dan meredakan kecamuk berkenaan. Apa yang cerah? Atas keperluan apa pencerahan itu perlu diambil kisah? Apa siknifikan pencerahan itu – bermula untuk diri sendiri yang kemudiannya dipanjangkan kepada komuniti skala lebih luas dan seterusnya pembangunan masyarakat?
Dulu – mungkin – persoalan-persoalan ini tidak pernah muncul kerana saya tidak pernah kesah. Tidak pula mahu sedar diri. Tapi, setelah bergelumang dengan isi-isi buku tersebut, saya mula mencari relevansinya idea pencerahan ini.
Memang, ia berkembang pesat pada abad ke-18 dan seterusnya menjerumus kepada peralihan bangsa Eropah untuk melalui transformasi ke arah modenisme. Moden ini, jika boleh dimaksudkan dalam konteks pemahaman saya di sini, bukanlah sekadar kemajuan materialistik.
Pencerahan bertitik tolak daripada kesedaran Eropah untuk berubah. Asasnya pula adalah kemajuan akal manusia dari keadaan jumud yang jauh tersimpang dari sifat humanis yang sepatutnya ada pada insan. Ketika inilah Eropah mula mempersoalkan perkembangan bangsa mereka dan mula juga menilai diri. Dari segala ‘kesesatan’ ini, muncul fasa pencerahan.
Ketika ini juga, saya melihat pencerahan sebagai satu flatform menajamkan kemampuan intelektualisme Eropah. Lahir tokoh-tokoh besar zaman itu untuk mempersoalkan pelbagai aspek kehidupan mereka – dengan keupayaan akal dengan melalui proses-proses pertimbangan dan perbahasan. Jika berkesempatan, rujuk buku kecil ini – profesor berkenaan membuat ringkasan yang jelas tentang hal-hal ini pada setiap bab.
Jadi, satu daripada jawapan untuk seribu satu persoalan diri sendiri sudah saya temui. Walaupun formasinya belum cukup kuat, tapi ia sudah cukup untuk melegakan sedikit minda berselirat saya. Untuk masyarakat sosial di negara ini – yang tidak terbatas untuk mana-mana golongan pun – keupayaan intelektualisme inilah yang paling berguna untuk kita perhatikan dengan analisa. Penerahan membawa bangsa Eropah dari keadaan kebiusan dan kelesuan menggunakan akal kepada satu rentak evolusi pantas intelektual. Bertolak dari sinilah yang mendorong kepada pembentukan dan kemajuan Eropah moden.
Bagi konteks di Malaysia, semua kemunculan kemajuan materialistik sudah cukup membanggakan. Yang mengecewakan adalah budaya intelektual di kalangan semua lapisan warga.
Di Eropah dan Barat, sehingga hari ini pun budaya ini terus rancak. Cuma disebelah sini yang masih malap-malap dan masih belum mahu sedar. Tidak salah menceduk apa saja kebaikan dari Barat untuk kita adaptasikan secara berhemah. Juga, jika ingin berbicara berkenaan ‘modal insan’, jangan lupa untuk menilik peri pentingnya zaman pencerahan ini. Idea yang berkembang akan menyebabkan mereka yang ego dan malas terus bebal dan hanyut dalam utopia baru.
Saya mencatat ini bukan kerana cerdik, tetapi hanya berbekalkan sedikit sinar kesedaran itulah. Terserah untuk anda tafsirkan.
12.28pm
2 julai 2007
petaling jaya