Monday, May 09, 2011

Dendam/Geram

“Kamu menyesal dengan apa yang pernah kita berdua lakukan dulu?” Dia meletakkan sepotong kek coklat (untuk dikongsi), segelas coklat panas untuk aku dan sebotol air mineral untuk diri sendiri.

Aku perhatikan dia memperhatikan kek yang tumbang di dalam piring, di atas meja. Tangannya masih lembut dan kecil sama seperti dulu aku yakin. Melihat cara sudu dipegang, tentunya sudu itu dengan angkuh berasa dirahmati. Secalit krim pada bibirnya lebih manis berbanding nikmat coklat yang ketika itu sedang meresap di dalam rongga mulut.

Dia mengangkat mata, memandang terus ke mata aku. ”Tak.” Yang ringkas itu bukan bermaksud tak ada keresahan. ”Sekurang-kurangnya kita pernah melakukannya. Dan itu bukan aneh, kerana aku gembira.” Dia kembali membawa pandangannya ke piring di depan kami, sekali-sekali ke pinggir jalan, membaca bahasa tubuh orang yang lalu-lalang dengan setiap rahsia yang selalu ingin disembunyikan tetapi tetap terbongkar.

Tidak seperti kami, bersama rahsia-rahsia yang selalu dikongsi. Dan waktu ini adalah untuk melihat kembali rahsia-rahsia yang masing-masing pernah pendamkan. Tetapi semakin berat untuk dituturkan. Entah malu-malu, entah ingin dipadam terus dari ingatan terhadap masa lalu.

”Kalau tidak, apa perlu untuk aku dan kamu berjumpa lagi?” Tanpa senyum, manis pada bibir itu aku lihat hilang sekejap ketika pertanyaan ini terpacul. Aku sebetulnya tak mengetahui apa pun yang mungkin ada sebagai jawapan bagi dirinya. Tetapi aku punya sebab bagi mewakilkan diri sendiri untuk sebuah pertanyaan seperti itu. ”Aku ingin bermain dendam dengan kau yang dulu.” Dia menjawab perlahan. Aku tak pasti yang di dengar di telinga kiri itu adalah kata ‘dendam’ atau ‘geram’.

”Aku sekadar ingin melihat kembali dosa-dosa lama. Dan kalau secantik inilah dosa-dosa itu kini, aku sama seperti kamu... tak pernah menyesal.” Dia hanya tersenyum.


- 9 Mei 2011.

Friday, May 06, 2011



Semangkuk Interlok sudah siap di bikin dan siap untuk di edar secara viral di laman maya. Tak ada cetakan fizikal dirancang setakat ini.

Di dalam proses menghimpun dan menyunting esei-esei berkenaan, kekhuatiran saya hanya satu; kalau-kalau buku itu nanti akan terpukul oleh arus perbincangan di ruang massa yang setakat saya perhatikan, begitu menyesakkan nafas.

Melalui buku ini, saya berusaha mendapatkan satu jarak dari arus itu, memusingkan mata dan tumpuan kepada perkara-perkara yang saya rasakan lebih penting atau lebih patut dipertanyakan.

Mujur, ada beberapa tulisan yang pada saya, yang ketika itu saya fikir bakal menyelamatkan sedikit-sebanyak perbincangan yang dihamparkan dalam buku itu nanti. Saya tak tahu sejauh mana saya berhasil untuk mempertemukan pembaca dengan sisi yang lebih penting bagi pekik lolong Interlok yang kedengaran.

Tetapi, saya selesa dengan draf manuskrip terakhirnya. Yang terlalu memuji-muji di neutralkan oleh beberapa lagi tulisan dengan pandangan berbeza. Yang manis mulut di letakkan juga sekelumit rasa pahit untuk disedari.

Tak ada apa lagi nak disampaikan.

Bacalah. Muat turut secara percuma di sini.

Monday, April 25, 2011