Wednesday, February 06, 2008

maklumat asas buku “Islam dan Pluralisme”

Satu daripada tiga buku dalam Bahasa Melayu yang diharamkan minggu lalu ialah Islam & Pluralisme terbitan MEGC. Di sini disertakan sedikit maklumat ringkas tentang buku berkenaan.
-
Tajuk: Islam & Pluralisme
Penyunting: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi & Khairul Anam Che Menteri
Tahun diterbitkan: 2006
Penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd (MEGC)
Tebal: 120 muka surat
Jenis buku: Terjemahan/susunan artikel-artikel daripada enam ahli akademik dan pemikir
-
Isi kandungan buku: Pendahuluan – “Bercakap tentang Pluraliti: Aku Manusia vs Aku Muslim” Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
-
Bab 1 – Pluralitas Makna Pluralisme (Agama)
Oleh Suratno, pensyarah Jabatan Falsafah & Agama, Universitas Paramadina, Jakarta, Indonesia
-
Bab 2 – Iman dan Kemajmukan Masyarakat Intra-Umat Islam
Oleh Nurcholish Madjid (allahyarham), pemikir Islam yang terkenal di Indonesia

Bab 3 – Islam dan Pluralisme
Oleh Asghar Ali Engineer, penulis terkenal berasal dari India

Bab 4 – Macam-macam Jalan ke Syurga
Oleh Reza Shah-Kazemi, sarjana dalam bidang Perbandingan Agama dan bekas konsultan di Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur

Bab 5 – Kristian di Masjid Nabawi: Renungan ke dalam Sunnah
Oleh Reza Shah-Kazemi

Bab 6 – Pluralisme Keagamaan dan Islam
Oleh John Hick, profesor emeritus dalam bidang falsafah agama

Bab 7 – Etika Global
Oleh Hans Kung, presiden Global Ethics Foundation dan juga penggerak utama bidang dialog antara tamadun (inter-civilizational dialogue) di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

Tentang penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) adalah sebuah pusat kajian dan penerbitan bagi mempromosi isu-isu kebebasan dan masyarakat sivil, berlandaskan tradisi keagamaan dan pemikiran moden. Prinsip-prinsip utama yang menjadi perhatian MEGC ialah kebebasan individu, keterbukaan, persaingan dan kemandirian. MEGC didukung oleh peminat dan pengkaji sejarah, budaya, pemikiran dan isu-isu rantau Timur Tengah.

Tentang pengasas: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, lulusan bidang syariah di Universiti Mu’tah, Jordan, seorang penterjemah buku, editor majalah dan wartawan/penulis isu-isu Islam, falsafah dan seni budaya.
-
MEGC
5A-4, Block F1, Jalan PJU 1/42A, Dataran Prima, 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
tel +603 7803 2545 fax +603 7803 2543

Monday, February 04, 2008

Perlu haram buku?

Setiap kali perintah pengharaman buku dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), ia tidak pernah disertakan dengan satu ulasan sebab yang kukuh yang membawa kepada tindakan tersebut. Kebelakangan ini, yang ada cuma alasan pendek – ‘kandungannya boleh memesong akidah’ atau ‘tidak selari dengan ajaran Islam’ – sekurang-kurangnya kerap begitu bunyinya.

Dulu, ketika di Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2006 – di ruang pameran KKDN, saya ada terpandang buku The Prophet tulisan Kahlil Gibran yang diklasifikasikan ‘haram’. Saya usulkan soalan, bertanyakan mengapa ia diharam. Menysusul lagi selepas itu ialah soalan-soalan tambahan seperti ‘apa yang dituliskan oleh Gibran’ dan ‘di bahagian mana dia mencatatkan perkara tersebut sehingga sampai ke peringkat haram ini’ kepada pegawai bertugas. Seingat saya hari itu, tidak ada satu pun soalan yang mampu dijawab dengan meyakinkan – langsung tidak dijawab. Oh, silap. Ada jawapannya - “tak tahu”.

Peristiwa seperti inilah lama-kelamaan yang antaranya meyakinkan saya untuk tidak bersetuju sepenuhnya dengan langkah pengharaman buku oleh kementerian.

Perkara sama juga berlaku minggu lalu apabila KKDN mengumumkan 11 lagi judul buku (yang semuanya berkait perihal Islam) yang digazet untuk diharamkan daripada beredar di Malaysia. Antara masalah yang timbul ialah sampai ke tahap mana khalayak di negara ini harus ditentukan apa yang patut mereka baca dan apa yang tidak? Tindakan pengharaman ini adalah langkah keterbelakang dan mundur yang pernah dianjurkan oleh sebuah negara yang dilihat maju fizikalnya seperti Malaysia.

Ia juga adalah petunjuk bahawa ada golongan di negara ini yang bersikap anti-intelektualisme dan mahu mengepung minda masyarakat dengan perkara yang remeh saja. Ia juga, dari satu sudut seolah memperlekeh kemampuan anggota masyarakatnya untuk menjadi lebih mandiri, yakin dan mampu berdepan – atau mengikuti – dengan lebih dekat pergolakan debat yang rancak mengambil tempat diperingkat dunia – global. Pengharaman buku-buku ini (yang kebelakangan ini banyak berteraskan Islam) lagaknya sama seperti memencilkan diri di dalam dunia sendiri saja. Adakah gambaran ini yang mahu dipotraitkan untuk orang Islam? Dan, paling jengkel, kepada mereka yang berhasrat untuk mengetahui perkara ini juga kini dinafikan hasratnya kepada ilmu berkenaan.

Jika ada buku-buku yang dikenal pasti menyeleweng – contohnya - saya tidak rasa ia perlu diharamkan terus. Tanggungjawab selepas itu adalah pada mereka yang merasakan ‘ancaman’ berkenaan untuk menjelaskan pandangan atau membalas hujah itu secara berilmu. Projek mengharamkan buku ini hanya menunjukkan sifat ‘kalah’ mereka kerana tidak mampu berdepan dan menjawab perbincangan yang diajukan di dalam buku-buku berkenaan? Adakah maksudnya itu Malaysia kini sudah ketandusan ilmuwan yang besar jiwanya dan hanya tinggal ‘pendekar yang tak pandai berpencak’?

Seharusnya khalayak yang ada hari ini diberikan peluang untuk berkecenderungan menggunakan akal dan terlibat secara langsung dalam proses dan budaya ilmiah yang telah lama mati sejak dulu.

Siapa tahu, nanti akan bermunculan karya-karya yang terinspirasi dari buku-buku seperti ini, seperti mana pernah buku Islam dan Pluralisme menginspirasikan novel Tuhan Manusia oleh Faisal Tehrani? Mungkin, saya katakan mungkin saja.

11 buku yang baru diharamkan ini pastinya akan mendapat populariti melonjak. Khalayak pembacanya juga barangkali berkembang. Dan KKDN seperti biasa, hanya melaungkan pengharamannya tanpa ada sebarang penjelasan bernas. Saya sudah jelek dilayan seperti orang yang tiada akal dikalangan orang-orang berkuasa yang cenderung untuk bertindak tanpa akal yang dalam – dan tanpa rasa hormat.

- 4 februari 2008

buku haram

Minggu lalu, 11 lagi buku diharamkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) seperti yang dilaporkan oleh Bernama. Seperti biasa, alasan yang dinyatakan adalah kerana buku-buku ini 'menyeleweng daripada ajaran Islam' - itu saja kenyataan yang diberi. Sebelas buku berkenaan ialah:

(Bahasa Inggeris)
1. Secrets Of The Koran:Revealing Insights Into Islam's Holy Book oleh Don Richardson (Regal Books From Gospel Light, Ventura, Calfornia, USA)

2. Qur'an and Women Rereading the Secrets Text From Woman's Perspective oleh Amina Wadud (Oxford University Press, New York)

3. The Two Faces Of Islam: Saudi Fundamentalism and It's Role in Terrorism oleh Stephen Schwartz (Anchor Books, New York)

4. Woman In Islam oleh Margaret Speaker Yuan (Greenhaven Press Farmington Hills)

5. Islam Unveiled: Disturbing Questions About The World's Fastest-Growing Faith oleh Robert Spencer (Encounter Books Califonia)

6. What Makes Me A Muslim oleh Catherine M. Petrini (KidHaven Press Farmington Hills)

7. The Importance Of Muhammad oleh Marilyn Tower Oliver (Lucent Books, Farmington Hills)

8. Faiths Islam Worship, Festival and Ceremonies From Around The World oleh Trevor Barnes (Kingfisher, Massachusets)

(Bahasa Melayu)
9. Amalan Kemurahan Rezeki oleh Lifa Karimah (Jasmin Enterprise)

10. Rahsia Jalan Yang Lurus (Al-Mustaqim, Johor Bahru)

11. Islam & Pluralisme oleh Al-Mustaqeem Mahmood Radhi (Middle Eastern Graduate Centre, Damansara, Kuala Lumpur)

Pengharaman buku dalam pengalaman Malaysia setahu saya tidak pernah disertai dengan penjelasan yang konkrit. Adalah kebiasaan ia hanya sekadar memaklumkan yang buku-buku itu bercanggah dengan norma dan faham rakyat negara ini - yang maksudnya terlalu umum dan cetek. Saya ingin mengulas sedikit nanti.

Baca lanjut di sini.